KLANG, 1 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menyelesaikan 2,434 kes daripada 9,072 tuntutan penceraian secara ‘fast track’ setakat Ogos lalu.
Ketua Hakim Syarie negeri berkata kaedah yang diperkenal sejak 2015 itu boleh dilaksana jika cukup syarat ditetapkan antaranya dokumen lengkap dan pasangan hadir ke mahkamah.
“Antara sebab tuntutan penceraian ialah tiada persefahaman dan masalah kewangan. Ada kes suami kerja baik tetapi tidak mahu beri nafkah kerana isteri bekerja.
“Kes tuntutan nafkah meningkat sekiranya banyak tuntutan penceraian namun setakat ini 50 peratus daripadanya berjaya diselesaikan dalam proses sulh (perbincangan),” kata Dato’ Mohammad Adib Husain.
Beliau berkata demikian pada Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah Siri 6 Zon Klang yang dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada pengurusan masjid, jabatan kerajaan dan pelajar jurusan undang-undang di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali, di sini.
[caption id="attachment_665843" align="alignnone" width="797"] Peserta mendengar ucapan Ketua Hakim Syarie Selangor Dato' Mohammad Adib Husain pada Majlis Perasmian Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah SIri 6 Zon Klang di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali Klang pada 1 Oktober 2024. FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mohammad Adib juga berharap kerajaan dapat mempertimbang menambah hakim mahkamah tinggi dalam usaha menyelesaikan kes tertunda.
“Setakat ini, kita ada lima mahkamah tinggi dan 22 mahkamah daerah. Jika boleh dipertimbang, kerajaan boleh menambah satu hakim bagi setiap mahkamah tinggi.
“Mahkamah rendah masih bertahan dan boleh berjalan tetapi untuk mahkamah tinggi mungkin boleh tambah sebab kes banyak," katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan institusi kaunseling bagi membantu mengurangkan kes penceraian.
“Apabila kes terus dituntut terus di mahkamah, tahap ego agak tinggi namun apabila ada satu institusi kemungkinan perkahwinan boleh dipertahan,” katanya.