AGENDA

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Nepal disebabkan banjir, tanah runtuh

30 Sep 2024, 1:16 PM
Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Nepal disebabkan banjir, tanah runtuh

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan ke Nepal susulan banjir dan tanah runtuh akibat hujan berterusan yang menjejaskan rangkaian sistem perhubungan di negara itu.

Kuasa Usaha, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal, Mohd Firdaus Azman berkata hujan yang berterusan sejak 26 September menyebabkan banyak lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara ditenggelami air serta terputus hubungan.

Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal turut memberi amaran bahawa hujan dijangka berterusan mulai esok sehingga Jumaat ini.

“Bagi mereka yang bercadang melawat Nepal dalam masa terdekat, kita nasihatkan menangguhkan perjalanan buat sementara kerana semua laluan keluar Kathmandu terputus buat masa ini.

“Sekiranya mereka tiba di Kathmandu, mereka akan terkandas dan tidak boleh ke mana-mana berikutan jalan terputus hubungan. Selain itu, paras air masih tinggi dan jambatan yang menghubungkan Kathmandu juga musnah sama sekali.

“Sehubungan itu, semua dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Nepal buat masa ini sehingga pihak berkuasa menyatakan ia selamat dan laluan serta lebuh raya dibaik pulih,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di Nepal mengambil langkah berjaga-jaga dan menghubungi pihak kedutaan sekiranya berlaku kecemasan.

Sementara itu, harga makanan di Kathmandu dilaporkan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda susulan cuaca buruk.

“Berikutan kawasan pertanian terjejas, bekalan makanan terputus dan sistem pengangkutan terjejas akibat banjir serta tanah runtuh, harga makanan di sini dilaporkan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda. Harga sayur-sayuran pula meningkat lima kali ganda,” katanya.

Firdaus turut memaklumkan 25 rakyat Malaysia terjejas akibat banjir dan tanah runtuh setakat ini.

“Kebanyakan mereka dalam perjalanan pulang dari Pokhara ke Kathmandu. Dengan bantuan ejen tempatan dan kedutaan, mereka yang terjejas selamat tiba di Kathmandu pada Ahad,” katanya.

Firdaus turut menjelaskan terdapat beberapa kumpulan yang baru sahaja memulakan pendakian di Nepal.

“Setakat ini, pihak kedutaan belum menerima sebarang makluman kecemasan.

“Pihak kedutaan akan terus memantau perkembangan terkini di Kathmandu dan memaklumkan perkembangan semasa di media sosial,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Kedutaan Malaysia di Nepal melalui nombor telefon +977-9801008000.

Menurut laporan Xinhua, jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan berterusan di Nepal mencecah 192 orang setakat pagi tadi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal, Rishiram Tiwari, berkata 30 orang masih hilang manakala 194 lagi cedera.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619