AGENDA

Dasar pengurusan bencana digubal, depani kesan cuaca ekstrem

26 Sep 2024, 4:35 AM
Dasar pengurusan bencana digubal, depani kesan cuaca ekstrem

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Kerajaan akan memperkenalkan dasar pengurusan risiko bencana negara sebagai langkah persediaan menghadapi fasa peralihan monsun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dasar yang sedang digubal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam memastikan negara lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana terutamanya dalam konteks perubahan iklim serta cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata dasar itu juga bertujuan mengurangkan risiko bencana dengan mengarusperdanakan konsep Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dalam setiap sektor pembangunan negara.

“DRR bukan sahaja melibatkan penyediaan infrastruktur, tetapi juga peningkatan kesedaran, pencegahan dan kerjasama antara kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan), sektor swasta serta masyarakat.

“Saya percaya, kejayaan dasar ini memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak dan dengan komitmen bersama, kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat dan bersedia dalam menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan, insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Malaysia kini memasuki permulaan fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan hingga awal November ini, setelah Monsun Barat Daya yang bermula 17 Mei lepas, berakhir.

Ahmad Zahid berkata pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional juga akan diadakan pada 3 Okt ini di Kota Tinggi, Johor.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan persediaan rakyat dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619