AGENSI

Belanjawan 2025 perlu tumpu isu bencana, alam sekitar

25 Sep 2024, 4:47 AM
Belanjawan 2025 perlu tumpu isu bencana, alam sekitar
Belanjawan 2025 perlu tumpu isu bencana, alam sekitar

Oleh Azrin Muhammad

SHAH ALAM, 25 SEPT: Belanjawan Selangor 2025 yang dijadual dibentang pertengahan November depan perlu mengambil kira isu bencana sebagai salah satu tumpuan utama demi keselamatan rakyat.

Penyelidik Lembah Klang Raya Selangor Dr Shamsaini Shamsudin berkata pentadbiran negeri perlu memperuntuk tabung kecemasan, selain dana khusus untuk hebahan bagi mendidik masyarakat.

"Kini kita boleh dikatakan dalam keadaan boleh ditimpa bencana pada bila-bila masa, oleh itu kita perlu bersedia daripada sekarang sebelum terlambat.

"Perkara ini cukup kritikal, jadi kita perlu ada program membabitkan masyarakat untuk sedar akan perlunya persiapan awal," katanya dalam sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di sini, semalam.

[caption id="attachment_664926" align="aligncenter" width="812"] Timbalan Pengarah ICU Selangor Huzunul Khaidil Mohamed memberi penerangan ketika Dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 24 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang mencadangkan Selangor membuat hebahan kepada orang ramai berhubung projek sisa kepada tenaga (WTE) yang akan dibangunkan di Rawang.

Menurut U Chin Ong, penjelasan itu perlu berikutan pembinaan dua loji WTE atau insinerator di kawasan berkenaan mendapat bantahan lebih 4,000 penduduk kerana didakwa berisiko.

"Kemungkinan ini adalah informasi yang kita perlu sampaikan kepada masyarakat agar mereka tahu kebaikan WTE untuk jangka masa panjang terutama kawasan tapak pelupusan sampah semakin terhad.

"Ia termasuk kesedaran berkaitan pengurusan sampah kerana sehingga kini masih ada yang tidak dapat membezakan sampah domestik dan pukal," katanya.

Pada masa sama, Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam Mohd Azreen Arifin juga berharap Belanjawan Selangor 2025 dapat menyeimbangkan aspek alam sekitar dan infrastruktur.

Katanya, Sabak Bernam sebelum ini banyak menyumbang daripada segi keterjaminan makanan dan hutan simpan, namun agak ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur.

"Tahun depan Sabak Bernam berhasrat menumpukan agropelancongan termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat setempat, justeru insentif negeri sangat diharapkan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619