AGENDA

GISBH: Ahli sanggup tidak mengaku anak elak kena tindakan

24 Sep 2024, 12:02 AM
GISBH: Ahli sanggup tidak mengaku anak elak kena tindakan

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Hampir dua minggu berlalu selepas kali pertama polis melakukan Op Global, namun hingga kini masih belum ada kelibat ibu bapa kepada 572 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH), tampil menuntut anak mereka.

Mereka tegar berbuat demikian kerana dipercayai tidak mahu taktik menjadikan rumah amal yang diuar-uarkan sebagai rumah perlindungan anak-anak yatim bagi mendapatkan bantuan daripada orang ramai terbongkar, sedangkan mereka sebenarnya adalah anak-anak ahli.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mendedahkan perkara itu dalam sidang media semalam berkata hal itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Paling menyedihkan ada juga ibu bapa kanak-kanak terlibat yang ditahan polis, tidak mengaku kanak-kanak yang diselamatkan itu anak mereka malah hasil soal siasat terhadap kanak-kanak terutama bawah 12 tahun juga mendapati ada yang tidak kenal siapa ibu bapa mereka.

Kesemua kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di 11 rumah selamat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerusi inisiatif oleh Kementerian Pendidikan (KPM), lebih 300 mangsa daripada mereka yang diselamatkan akan menjalani program pendidikan mulai 1 Oktober ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program pendidikan yang akan menggunakan modul khas itu melibatkan pelaksanaan fasa pertama selama dua bulan dan dilanjutkan ke fasa kedua bagi bulan berikutnya sekiranya terdapat keperluan.

Selain itu, siasatan polis terhadap GISBH yang memasuki fasa empat sejak Sabtu lepas mendapati ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994 susulan penemuan risalah dan buku berkaitan di premis milik syarikat itu.

Razarudin berkata buku dan risalah yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Berikutan itu juga siasatan polis terhadap organisasi tersebut kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 153 akaun berkaitan GISBH telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795 dan 38 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.94 juta serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut disita hasil Op Global setakat Sabtu lepas.

Tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pula berkata keputusan berkaitan doktrin fahaman GISBH hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini.

Mohd Na’im berkata sebelum keputusan itu diperkenankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta semua mufti negeri akan bermesyuarat bagi membincangkan mengenai GISBH bermula esok hingga 26 September.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619