AGENSI

Kualiti Sungai Bernam pada tahap baik, tiada kesan minyak, bau abnormal dikesan

22 Sep 2024, 12:39 PM
Kualiti Sungai Bernam pada tahap baik, tiada kesan minyak, bau abnormal dikesan

IPOH, 22 SEPT: Kualiti air di Sungai Bernam, Selangor berada dalam tahap baik dan tiada kesan minyak serta bau abnormal dikesan setakat awal pagi tadi, kata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, LUAS memaklumkan perkara itu susulan berlakunya insiden tumpahan minyak diesel di Hulu Sungai Slim di Perak yang diterima pihaknya malam semalam.

“Pasukan LUAS dan Air Selangor telah melaksanakan pemantauan rapi sepanjang malam di Sungai Slim, Sungai Bernam dan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH) dengan bacaan kualiti air iaitu kadar bau dianalisa setiap jam.

“Pemantauan ini ditamatkan 7 pagi tadi setelah didapati kualiti air di Sungai Bernam berada dalam keadaan baik dan tiada kesan minyak serta bau abnormal dikesan,” mengikut hantaran itu hari ini.

Dalam hantaran sama, LUAS memaklumkan pihaknya akan menjalankan pemantauan susulan di lokasi berkaitan dan berkomunikasi dengan pihak berkuasa terlibat bagi memastikan tiada potensi dan risiko lain yang boleh menyebabkan permasalahan kepada Sungai Bernam dan sumber air.

Sementara itu, Pengerusi Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak Teh Kok Lim ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menyemak dengan pihak berwajib berhubung insiden tumpahan minyak diesel itu.

Semalam, LUAS telah menerima makluman berhubung insiden tumpahan minyak diesel di hulu Sungai Slim, Perak sekitar 8 malam tadi.

Agensi itu menyatakan kawasan tadahan Sungai Slim adalah sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam di Perak, oleh itu aliran berkenaan juga masuk ke Sungai Bernam, Selangor.

Pasukan LUAS dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membuat semakan di lokasi berkenaan selain mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Slim dan sehingga 1 pagi tadi, pemantauan bau di lokasi mencatatkan bacaan 0 ton dan keadaan adalah terkawal, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619