ad
AGENDA

Tokoh pemikir Islam dilantik sebagai rektor UIAM ketujuh

21 Sep 2024, 4:30 AM
Tokoh pemikir Islam dilantik sebagai rektor UIAM ketujuh

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh, untuk tempoh dua tahun mulai 23 Sept 2024 hingga 22 Sept 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Osman adalah seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air.

Beliau juga memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai antara 500 orang lslam paling berpengaruh di dunia pada 2009.

"Kementerian yakin dengan pelantikan ini, Prof Emeritus Dr Osman akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut kenyataan itu di sini.

Osman, penyandang Kursi Al-Ghazali di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (1STAC), UIAM merupakan pemegang ljazah Sarjana Muda dan ljazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom dan ljazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah lslam dari University of Temple, Amerika Syarikat.

KPT juga mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.