AGENDA

Alif Teega didakwa di mahkamah, salah guna duit derma lebih RM60,000

20 Sep 2024, 4:12 AM
Alif Teega didakwa di mahkamah, salah guna duit derma lebih RM60,000

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Seorang pempengaruh media sosial Mohd Hazalif Mohd Hazani, yang lebih dikenali sebagai Alif Teega, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan penyalahgunaan wang berjumlah lebih RM60,000 yang diperoleh daripada kutipan dua program infaq pada April dan Jun lalu.

Mohd Hazalif, 30, mengaku tidak bersalah setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin, di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari di sini pada 26 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan program Jom! Sertai Infaq Daging Qurban di bank yang sama, pada 15 Jun tahun ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mencadangkan jaminan antara RM50,000 hingga RM100,000 dikenakan bagi kedua-dua pertuduhan, dengan syarat tambahan pasport perlu serah kepada mahkamah dan tertuduh diwajibkan melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, setiap bulan.

Peguam Mohd Sharullah Khan yang mewakili tertuduh, memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan semua harta milik tertuduh dibeku oleh pihak SPRM.

Mahkamah membenarkan Mohd Hazalif diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619