ad
AGENSI

Projek tanaman bernilai tinggi guna teknologi pintar, hasil dituai tempoh setahun

19 Sep 2024, 4:59 AM
Projek tanaman bernilai tinggi guna teknologi pintar, hasil dituai tempoh setahun

SHAH ALAM: 19 SEPT: Program tanaman kontan di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berjaya membimbing petani menuai hasil bernilai tinggi sekali gus memperkukuhkan agenda jaminan keselamatan makanan.

Salah seorang penerima geran Projek Tanaman Kontan Bernilai Tinggi, Mohammad Izzat Ismail berkata PKPS banyak memberi bimbingan dan sokongan terutama memastikan hasil dituai mengikut tempoh ditetapkan.

Pemilik Dusun Cikgu Mail berusia 33 tahun itu yang menceburi bidang petanian sejak 2016 berkata pemberian bantuan secara tunai memudahkan pembelian barangan mengikut keperluan.

Bermula dengan tanaman durian, beliau megorak langkah menerusi Dusun Cikgu Ismail yang terletak di Hulu Selangor dengan menanam betik jenis Sekaki Callina sejak tahun lalu dan dalam proses menambah keluasan dua ekar lagi tanah bagi tanaman betik.

"Bila saya dapat insentif daripada PKPS sendiri, saya buat bumbung yang agak besar untuk tampung 10 tangki dan stok baja. Yang sedang dilaksanakan sekarang pam solar dan rumah tangki tapi sudah 90 peratus.

"Dengan insentif yang dalam bentuk tunai ini, petani dapat putuskan barangan apa yang diperlukan. Jadi memang sangat baik insentif ini dan harus diteruskan," katanya dalam program Hai Selangor terbitan SelangorTV.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Operasi Selagro Solutions Sdn Bhd, Raman K Naidu berkata kerjasama PKPS dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membantu petani memperoleh hasil dalam tempoh setahun berbanding lima tahun sebelum ini.

"Selagro Solutions Sdn Bhd selaku anak syarikat PKPS bertanggungjawab memstikan projak tanaman ini berjaya. Kita menggunakan sistem yang kita panggil sebagai 'petani pintar'.

"Program ini ada kalendar tanaman dan kita dapat kawal sepanjang tahun hasilnya. Bila kita dapat keluarkan produk di negeri kita sendiri, kita akan buka pekerjaan baharu ataupun kita sebut sebagai kekayaan baharu," katanya.

Tambah beliau, usaha PKPS melahirkan petani ini juga sebagai usaha bagi memperkukuh agenda sekuriti makanan di bawah kerangka Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

Jika berlaku sebarang masalah kita akan ada satu sumber makanan mentah untuk tiga bulan. Petani-petani kita ini akan menyediakan sumber makan mentah untuk kita jikalau berlaku apa-apa peperangan atau kekurangan sumber, boleh lah mereka bantu semula kerajaan negeri," katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=aO-mXSB3cmo

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.