AGENDA

Jururawat mengaku tidak salah sebabkan kematian bayi 30 hari

17 Sep 2024, 4:22 AM
Jururawat mengaku tidak salah sebabkan kematian bayi 30 hari

KOTA BHARU, 17 SEPT: Seorang jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia sebulan, minggu lepas.

Nur Ain Natasha Mohd Sabri, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Ain Natasha sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi lelaki tersebut, didakwa mendedahkan mangsa kepada situasi yang mungkin menyebabkan kecederaan antara pukul 4.47 pagi hingga 5.30 pagi, pada 9 Sept lalu di sebuah pusat jagaan berpantang di sini.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan kepada jururawat itu kerana ia kesalahan yang serius, namun peguam Nur Alini Ahamad Kamil memohon mahkamah membenarkan anak guamannya diikat jamin atas alasan dia masih muda, tidak mempunyai rekod jenayah dan boleh memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 3 Okt ini untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619