AGENDA

PRK Mahkota: HARAPAN pergiat kempen minta pengundi tunai kewajipan

17 Sep 2024, 2:35 AM
PRK Mahkota: HARAPAN pergiat kempen minta pengundi tunai kewajipan

KLUANG, 17 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAB) giat berkempen bagi meningkatkan kesedaran pengundi untuk menunaikan kewajipan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan berlangsung 28 Sept ini.

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang merupakan Penyelaras HARAPAN Kluang bagi PRK itu, berkata terdapat segelintir kecil penduduk tidak menyedari PRK sedang berlangsung, menyebabkan jentera mereka membantu pengundi membuat semakan pusat mengundi, selain hebahan PRK.

Ditanya mengenai penerimaan pengundi bukan Melayu terhadap calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah yang mewakili kerajaan Perpaduan pada PRK itu, Wong berkata ia adalah baik.

"Walaupun maklum balas adalah baik, kita perlu memastikan peratusan keluar mengundi juga berada pada tahap yang memuaskan. Kami berharap kadar pengundian dapat melebihi 60 hingga 70 peratus. Namun, memandangkan ini adalah pilihan raya kecil, adalah sangat sukar untuk mencapai 70 peratus," katanya semasa ditemui pada Pesta Tanglung di Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor Kluang di sini semalam.

Turut hadir ialah Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Selain itu, Wong berkata tiada keperluan untuk beliau mengulas dakwaan pembangkang yang cuba memburukkan DAP dalam PRK tersebut, kerana beliau berpendapat isu tersebut bersifat retorik dan hanya dimainkan oleh mereka yang ketandusan modal politik.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619