AGENDA

Liputan 5G terus diperluas, capai 81.9 peratus di kawasan berpenduduk

17 Sep 2024, 1:00 AM
Liputan 5G terus diperluas, capai 81.9 peratus di kawasan berpenduduk

KOTA KINABALU, 17 SEPT: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Kerajaan Madani komited memastikan rakyat Malaysia menikmati Internet berkelajuan tinggi 5G.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 7,191 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara dengan 564 di Sabah dan 551 di Sarawak, manakala tahap liputan kini 81.9 peratus di kawasan berpenduduk.

"Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah adalah 68.9 peratus manakala di Sarawak pula 62.5 peratus… saya amat gembira dengan pembangunan telekomunikasi di negara ini untuk kepentingan rakyat kita," katanya dalam video ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini malam tadi.

Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Fahmi, yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024, berkata beliau menghargai sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak yang menjayakan sambutan Hari Malaysia terutama Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah.

"Marilah kita bersama-sama menjiwai semangat cinta akan negara dengan memperkukuh jati diri masing-masing sebagai dukungan ke arah Malaysia lebih hebat," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619