BANGI, 13 SEPT: Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat diyakini dapat menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian.
Timbalan Dekan Fakulti Komputer dan Teknologi-Meta di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata teknologi AI amat sesuai diteroka belia sekali gus mampu memberi nafas baharu kepada industri pertanian.
Menurut Dr Muhammad Hariz Muhamad Adnan, teknologi AI dalam bidang pertanian masih baharu di Malaysia dan peluang itu harus dimanfaatkan semua pihak khususnya golongan muda.
“Kita semua sedia maklum, kumpulan belia ini sukakan kepantasan dan mereka juga sudah terdedah dengan teknologi sejak lahir dan AI bukan sesuatu yang baharu kepada mereka.
“Saya yakin, jika kita benar-benar laksanakan AI dalam pertanian, lebih ramai orang muda berminat menyertai bidang ini kerana teknologi menjadikan pertanian lebih mudah,” katanya kepada Selangorkini.
Terdahulu, beliau menyampaikan perkongsian bertajuk Teknologi AI dalam Pertanian di Kolokium Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Hotel Bangi Resort di sini, hari ini.
Kolokium dengan tema Inovasi Digital Dalam Pertanian itu disertai kira-kira 300 usahawan pertanian muda yang berumur 45 tahun ke bawah dari seluruh negara.
Peserta didedahkan dengan pengenalan asas teknologi AI atau teknologi sistem pintar, data raya, Internet benda (IoT), teknologi rantaian blok, pengintegrasian sistem dan komputeran awan yang disampaikan dua panelis profesional.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Hariz menjelaskan teknologi AI mampu memberi analisis data mendalam berkaitan cuaca, keadaan tanah dan memantau kesihatan tanaman sekali gus meningkatkan hasil pertanian.
Beliau yang mengkaji teknologi AI selama 12 tahun menjangkakan hasil pertanian negara mampu meningkat sehingga 50 peratus sekiranya penggunaan AI diperkasa dan dilaksanakan sepenuhnya.
“Berdasarkan kelebihan yang ditawarkan AI, ia memberi ruang manfaat yang besar kepada negara malah mampu memperkasakan kembali sektor pertanian jika digunakan secara maksimum,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Agrikultur Digital dan Teknologi Ekosistem di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata penggunaan teknologi baharu dalam pertanian membantu mengurangkan kos operasi sehingga 30 peratus, selain berupaya meningkatkan produktiviti serta pendapatan sebanyak 20 peratus.
Menurut Navin Sinnathamby, perkara itu dibuktikan menerusi pelaksanaan 15 projek rintis membabitkan 1,500 usahawan tani di seluruh negara yang dilatih MDEC di bawah sistem pertanian digital (Digital Agtech).
“Sebenarnya masih ramai lagi petani atau penternak tidak tahu mengenai pertanian moden. Jadi, ini merupakan tugas kami untuk beri pendedahan sebanyak mungkin bagi membantu semua usahawan tani menerima manfaat,” katanya yang menjadi panel kedua dalam kolokium berkenaan.
[caption id="attachment_663189" align="aligncenter" width="813"] Dr Muhamad Hafiz Muhamad Adnan dari Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) bercakap mengenai teknologi AI dalam pertanian sempena Kolokium MAHA di Bangi Resot Hotel, Kajang pada 13 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]