ad
AGENDA

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir terbuka Hong Kong

13 Sep 2024, 12:27 PM
Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir terbuka Hong Kong

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah hanya mengambil masa 31 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 21-14, 21-13, pada aksi suku akhir Kejonanan Badminton Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum hari ini.

Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan pada aksi separuh akhir esok.

Ha Na-So Hee selaku beregu pilihan pertama kejohanan mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-8, 21-18.

Pearly-Thinaah yang melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 mengalahkan Ha Na-So Hee 21-18, 21-13 pada saingan separuh akhir Terbuka Korea bulan lepas, tetapi terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara selepas tewas 12-21, 11-21 kepada satu lagi beregu wanita tuan rumah Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, pada perlawanan akhir.

Dalam pada itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun selaku pilihan keempat kejohanan turut mara ke suku akhir selepas pasangan tuan rumah Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau menarik diri daripada meneruskan perlawanan dengan keputusan 21-4, 4-1.

Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir pasangan China Gua Xin Wa-Chen Fang Hui.

Satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut lolos ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan Lin Bin-Wen-Lin Chih Chun 21-14,21-15.

Di suku akhir kelak, gandingan di kedudukan ke-40 dunia itu dijangka bertemu cabaran sukar apabila dijadual menentang gandingan pilihan pertama tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-16, 9-21, 13-21.

Selain Sze Fei-Nur Izzuddin, dua lagi beregu negara gagal melepasi halangan pusingan kedua dengan Lim Tze Jian-Wong Tien Ci tewas kepada wakil Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 9-21, 21-23 manakala pasangan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong kalah kepada beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin 21-18, 13-21, 17-21.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.