AGENDA

Pesara rugi hampir RM100,000 terpedaya pelaburan emas di WhatsApp

11 Sep 2024, 3:55 AM
Pesara rugi hampir RM100,000 terpedaya pelaburan emas di WhatsApp

KUALA TERENGGANU, 11 SEPT: Seorang pesara kerajaan kerugian RM91,060 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki warga emas berusia 85 tahun itu mula terperdaya setelah menerima pesanan iklan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 29 Okt tahun lepas.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari sini telah ditawarkan pakej pelaburan ‘Madinah Emas’ yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

"Mangsa ditawarkan pakej VIP (orang kenamaan) dengan modal RM500 dan dijanjikan pulangan untung sebanyak RM15,800 dalam tempoh empat jam.

"Mangsa yang gelap mata dengan tawaran itu membuat pemindahan wang sebanyak 26 kali ke enam akaun bank berasingan seperti diarahkan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun setelah membuat transaksi, mangsa yang menunggu sekian lama berasa kecewa kerana tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Mangsa membuat laporan polis pada Isnin lepas selepas berasa tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Azli sehubungan dengan itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dan membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619