AGENSI

MAHA 2024: Inovasi baja, pertanian moden antara kelainan dibawa Nafas

10 Sep 2024, 6:26 AM
MAHA 2024: Inovasi baja, pertanian moden antara kelainan dibawa Nafas

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan menampilkan kelainan dengan inovasi dalam sektor baja, pertanian moden serta produk makanan sejuk beku jenama Peladang.

Pengurus Besarnya Muhammad Faris Arriffin berkata penglibatan Nafas pada penganjuran MAHA edisi ke-100 itu akan menyajikan pelbagai aktiviti antaranya pameran, jualan produk dan inovasi terbaik seperti produk makanan dan baja jenama Peladang, pelbagai input pertanian serta jentera pertanian.

“Penglibatan Nafas pada MAHA 2024 membuktikan komitmen dalam memajukan sektor pertanian negara sejajar dengan objektif keterjaminan makanan yang berterusan.

“Pameran ini turut memberi peluang kepada Nafas untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkenalkan penyelesaian pertanian yang lebih efektif dan lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meraikan 100 tahun penganjuran dengan tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom, MAHA 2024 berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini bermula esok hingga 22 September ini.

MAHA 2024 dijangka menarik lebih tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari berlangsung.

Sehubungan dengan itu, Muhammad Faris mengajak orang ramai untuk tidak melepaskan peluang singgah ke reruai Nafas di segmen Agro Seed di Dewan A, MAHA Go Global (Hall C), Kingdom of Agrofood (Laman Tiba 1), Laman Padi, Laman Mekanisasi dan Nafas Cube.

Beliau berkata Nafas turut membuka kaunter perkhidmatan Dana Peladang Kebangsaan di segmen Peladang Outlet di Dewan A.

“Orang ramai juga berpeluang menyertai pertandingan memancing di Nafas Cube. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di MAHA 2024 seperti jualan ‘happy hour’, uji rasa produk makanan jenama Peladang, aktiviti santai dan permainan interaktif bersama pengunjung di segmen penglibatan Nafas.

“Jangan lepaskan peluang, jom beramai-ramai kita ke MAHA 2024 dan melihat sendiri pelbagai aktiviti yang pastinya memberi pengalaman unik dalam penganjuran MAHA kali ini. Jumpa anda di sana!,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai penglibatan Nafas di MAHA 2024, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi Nafas di Facebook, Instagram, X, Threads, dan TikTok - @nafashq.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619