AGENDA

Tebing runtuh: Status pembinaan diputus selepas terima laporan siasatan

9 Sep 2024, 7:30 AM
Tebing runtuh: Status pembinaan diputus selepas terima laporan siasatan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Selangor akan meneliti laporan penuh insiden runtuhan tebing di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penyambungan semula projek berkenaan.

Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri Ir Izham Hashim telah ke lokasi berkenaan semalam bagi menyiasat dan mengenal pasti nilai kerugian akibat kejadian itu.

"Kita perlu siasat dahulu… semalam EXCO berkenaan sudah melawat tempat kejadian bagi melihat secara dekat kesan runtuhan.

"Kalau melibatkan kelemahan struktur yang dibina oleh pemaju berkenaan atau kontraktor yang diberi tanggungjawab, saya rasa setiap projek ada insurans," katanya kepada pemberita selepas melawat Akademi Bateriku.Com di sini hari ini.

Amirudin berkata dengan perlindungan insurans pastinya kos kerugian bagi kerosakan berkenaan akan ditanggung atau dibayar oleh syarikat insurans.

Bagaimanapun, beliau membayangkan kemungkinan tiada peningkatan kos yang ketara kerana insiden itu hanya melibatkan runtuhan ban atau tebing tasik namun keputusan muktamad mengenai status projek dapat dibuat setelah laporan penuh kejadian diterima kelak.

Semalam, Izham dilaporkan berkata siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian itu akan diketuai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang telah melantik konsultan yang mempunyai kepakaran bidang berkaitan bagi kerja-kerja penyiasatan itu.

Beliau berkata laporan lengkap untuk mengenal pasti punca insiden itu akan dikemukakan dalam masa tiga bulan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Sabtu lepas, tebing di projek berkenaan runtuh menyebabkan limpahan air tasik memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan namun tiada kecederaan dilaporkan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619