AGENDA

Jakim diarah bertemu GISB, dapatkan penjelasan dakwaan terlibat ajaran sesat

7 Sep 2024, 11:37 AM
Jakim diarah bertemu GISB, dapatkan penjelasan dakwaan terlibat ajaran sesat

PUTRAJAYA, 7 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak GISB Holdings Sdn Bhd bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan berhubung dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa.

Beliau berkata masyarakat perlu membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan jabatan agama Islam negeri sekiranya mendapati terdapat sebarang kegiatan yang diragui serta boleh memesongkan akidah.

“Ini penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri membuat siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Mohd Na’im berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan terhadap isu berkenaan.

Media baru-baru ini melaporkan Mohd Na'im mengesahkan mengenai sesi libat urus dengan wakil syarikat GISB ekoran pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan ajaran sesat serta mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619