AGENDA

Sarjan Mazlan terima pingat Jasa Perkasa Persekutuan

7 Sep 2024, 7:02 AM
Sarjan Mazlan terima pingat Jasa Perkasa Persekutuan

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Anggota tentera yang bergadai nyawa terjun ke laut untuk menyelamatkan pasangan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari lepas dikurniakan Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) bagi menghargai jasa beliau.

Sarjan Mazlan Abdul Rahman, 35, menjadi penerima tunggal bintang berkenaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di Istana Negara hari ini.

Berbekalkan pengalaman sebagai jurulatih jasmani dan sukan, Mazlan yang telah berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 14 tahun bertindak berani terjun dari jambatan setinggi 20 meter demi menyelamatkan dua individu terbabit daripada lemas.

Mazlan yang kini bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang ketika ditemui Bernama, menzahirkan kesyukuran serta terharu selain tidak menyangka akan menerima penghargaan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Semasa kejadian apa yang terlintas di fikiran saya hanyalah untuk membantu mangsa,” katanya yang pernah terlibat dalam penugasan Misi Pengaman MALBATT 850-9 di Lubnan pada 2022.

Menceritakan semula detik kejadian, Mazlan berkata ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani dan menyedari betapa pentingnya untuk menyelamatkan nyawa manusia dalam bahaya yang selama ini diterapkan dalam TDM.

Mazlan yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah, pernah berkhidmat di Kelantan sebelum dipindahkan ke Pulau Pinang hujung tahun lepas.

Bapa kepada dua cahaya mata lelaki berusia tujuh dan tiga tahun ini juga baru sahaja sembuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 31 Julai lepas dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian tangan.

Pada 27 Julai lepas, Mazlan dianugerahkan Pingat Gagah Perwira (PGP) sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang.

Beliau turut dinaikkan daripada koperal kepada sarjan sebagai penghargaan atas keberaniannya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619