BERITA UTAMA

Buru ikan bandar raya hujung minggu, elak ekosistem sungai terjejas

7 Sep 2024, 2:44 AM
Buru ikan bandar raya hujung minggu, elak ekosistem sungai terjejas
Buru ikan bandar raya hujung minggu, elak ekosistem sungai terjejas
Buru ikan bandar raya hujung minggu, elak ekosistem sungai terjejas
Buru ikan bandar raya hujung minggu, elak ekosistem sungai terjejas
Buru ikan bandar raya hujung minggu, elak ekosistem sungai terjejas

Kehadiran spesies ikan asing yang mengancam hidupan asal di sesuatu habitat banyak berlaku di pelbagai negara.

Malaysia juga berdepan masalah pembiakan tidak terkawal ikan berkenaan yang menggugat ekosistem perairan selain menjadi pemangsa ikan tempatan.

Terkenal dengan jolokan ikan bandar raya, pemangsa itu mengancam ikan tempatan antaranya lampam, haruan dan keli.

Ikan spesies tempatan terpaksa bersaing merebut makanan dengan ikan bandar raya, selain hidupan itu menghakis tebing dan mengeruhkan air sungai.

Ikan bandar raya disenarai antara lebih 20 spesies ikan invasif dan mengganggu simbiosis perairan di Lembah Klang. Penetasan 2,000 hingga 3,000 telur dalam 48 jam mempercepat lagi penguasaan ke atas hidupan lain dalam sungai, tasik, lombong di Selangor.

Sehubungan itu, Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) ditubuhkan Mac lalu. Berdaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, KPIB ada 10,000 ahli seluruh Malaysia.

Pengasasnya Mohamad Haziq A Rahman berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi kerajaan dan penduduk tempatan menangkap ikan pemangsa itu.

Dua bulan selepas ditubuhkan, kumpulan itu menjalankan operasi menangkap ikan bandar raya di Sungai Arau, Perlis dengan berat 120 kilogram (kg). Sementara di Sungai Kulim, Kedah pula 200kg.

Bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Pulau Pinang pada 3 Ogos, KPIB menangkap 759kg ikan itu di Sungai Machang Bubok, Bukit Mertajam dan Sungai Junjong, Seberang Perai.

“Kalau ahli kita sendiri yang tangkap, seminggu sekali kita boleh dapat setengah tan di setiap sungai itu,” kata nelayan darat berusia 36 tahun itu, pada 2 September.

Sempena Hari Sungai Sedunia pada 26 September, mereka akan bersama kerajaan Johor dan Negeri Sembilan melaksanakan operasi tangkapan ikan itu, bulan ini diikuti kerjasama dengan kerajaan Perak, Oktober depan.

Terbaharu, KPIB bekerjasama dengan Kerajaan Selangor menangkap ikan bandar raya di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sepanjang bulan ini.

Digerakkan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim sejak 1 September, penganjur mensasarkan 50,000kg tangkapan. Insentif RM1 bagi sekilogram ikan itu diberikan kepada peserta.

Mengulas program itu, Haziq mengakui sedikit kecewa kerana hasil tangkapan tidak seperti diharapkan. Hanya 799.95kg diperoleh kerana cuaca hujan pada malam 31 Ogos, sehari sebelum program.

Sebelum ‘serangan’ ikan invasif itu, Sungai Langat kaya dengan ikan seperti baung kuning, lampam sungai, haruan ketutu, udang galah dan patin, sebagai sumber pendapatan nelayan ikan darat.

“Sejak ikan bandar raya menguasai, ikan tempatan kurang. Sebab itu ia jadi fokus utama pulihkan sungai ini. Sungai ini satu-satunya sungai di Selangor kaya ikan tempatan.

“Dulu ia tumpuan pemancing ikan air tawar. Sebut sahaja Sungai Langat, orang luar daerah datang dan dapatkan ikan di sini. Jadi sebab inilah kita nak pulih sungai ini,” katanya.

[caption id="attachment_662085" align="aligncenter" width="800"] Ikan Pleco yang ditangkap di sekitar tebing Sungai Langat sempena Program Inisiatif Pemburu Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat pada 1 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

[caption id="attachment_662086" align="aligncenter" width="1062"] Pemburu ikan Pleco menangkap ikan Pleco dengan menjala sekitar tebing Sungai Langat sempena Program Inisiatif Pemburu Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat pada 1 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619