AGENDA

KPM sedia beri kaunseling kepada murid dirakam pemandu bas

6 Sep 2024, 1:20 PM
KPM sedia beri kaunseling kepada murid dirakam pemandu bas

ALOR SETAR, 6 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan bantuan kaunseling kepada kanak-kanak yang terbabit dalam kes pemandu bas yang merakam video mereka dan memuat naik dalam aplikasi media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sekiranya ada keperluan, bantuan kaunseling itu akan disediakan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Berkenaan isu pemandu bas sekolah ini, pihak polis telah pun mengambil tindakan terhadap pemandu bas tersebut dan memulakan siasatan.

“Sekiranya mempunyai keperluan pihak KPM melalui JPN dan PPD akan memberikan kaunseling kepada anak-anak kita, murid-murid dan pelajar-pelajar yang merupakan mangsa dalam isu ini dan pihak KPM sentiasa bersedia untuk membantu anak-anak kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis hari ini menahan seorang pemandu bas berusia 24 tahun yang memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya dalam bas di Simpang Renggam, Kluang pada 2.57 pagi dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

Wong berkata KPM juga menyerahkan kepada pihak polis berhubung siasatan kes itu.

Dalam perkembangan lain, Wong berkata KPM mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan jemputan orang kenamaan atau ahli politik, bagi menghadiri program di dalam sekolah.

Beliau berkata pihaknya telah menjelaskan beberapa kali berhubung garis panduan itu, apabila ia dibangkitkan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan ia sepatutnya difahami semua pihak.

“Saya percaya bahawa peruntukan dan garis panduan yang ditetapkan itu amat jelas. Maka semua pihak perlu bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan tersebut dan saya memohon supaya kerajaan negeri (Kedah) membaca dengan teliti garis panduan yang ada dan pihak KPM berpegang kepada garis panduan yang ada,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah Datuk Mohd Azam Abd Samat dalam kenyataan mendakwa, JPN Kedah memberi ‘arahan’ agar guru-guru yang terlibat dengan program kerajaan negeri supaya tidak hadir ke program tersebut.

Terdahulu, Wong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah 2024.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619