SHAH ALAM, 5 SEPT : Orang ramai dijemput ke Karnival Kesihatan Rahmah 5.0 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada Ahad ini.
Berlangsung di Dewan Kekwa, Seksyen 17, di sini, wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata program bermula 9 pagi hingga 4 petang itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.
"Jom ke Karnival Kesihatan Rahmah DUN Batu Tiga 5.0, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pemeriksaan kesihatan PeKa B40 dan Pemeriksaan Kesihatan (HSP) Perkeso.
"Selain itu, turut disediakan bantuan alatan perubatan sehingga RM20,000, pemeriksaan mata dan menariknya anda turut diberi subsidi pembelian cermin mata," katanya ketika dihubungi.
Danial berkata, wanita berumur 40 tahun ke atas juga berpeluang mendapat kupon bagi ujian mammogram selain pemeriksaan pap smear dan ginekologi.
Jelasnya, semua pemeriksaan ditawarkan secara percuma, pengunjung boleh menyemak kelayakan menerusi sehati.perkeso.gov.my/check dan kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan
Selain pemeriksaan, turut diadakan kaunter pendaftaran Iltizam Selangor Sihat (ISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).
"Jangan lepaskan peluang ini, bawa juga anak anda kerana kita turut menyediakan pertandingan mewarna selain turut dibuka kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat dan klinik bergerak oleh Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia," katanya.