AGENDA

Menteri jamin polis mampu tangani elemen pelampau dalam negara

2 Sep 2024, 3:20 PM
Menteri jamin polis mampu tangani elemen pelampau dalam negara

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu menangani beberapa elemen ekstremis yang masih wujud di dalam negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau memberi jaminan walaupun terdapat petunjuk bahawa aktiviti itu sedang meningkat, PDRM berkeupayaan untuk mematahkannya.

"Apa pun keadaannya, yang paling penting ialah saya memberi jaminan bahawa pasukan polis berkemampuan untuk mengawalnya," katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Persidangan Keselamatan Dalam Negara di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya pada persidangan itu, Saifuddin Nasution mendedahkan masih terdapat beberapa kumpulan di Malaysia yang percaya bahawa selagi kerajaan tidak mengamalkan fahaman Islam, kerajaan itu perlu ditentang.

"Ketua Polis Negara kerap memberikan input hampir setiap minggu tentang apa yang berlaku di lapangan.

"Jangan ingat kes Ulu Tiram itu kes terpencil, jangan anggap (mudah) tangkapan beberapa elemen Daesh, daripada pensyarah universiti hingga suri rumah serta pekerja sektor binaan … (elemen ekstremis) masih lagi berkembang, masih lagi wujud," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619