AGENDA

Paralimpik Paris: Acara triatlon ditangguh susulan kualiti air Sungai Seine menurun

1 Sep 2024, 10:00 AM
Paralimpik Paris: Acara triatlon ditangguh susulan kualiti air Sungai Seine menurun

LONDON, 1 SEPT: Acara triatlon di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan pada Ahad ditangguhkan kerana kebimbangan baharu mengenai kualiti air di Sungai Seine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebelas acara dijadualkan, bermula dengan aksi renang di sungai pada pagi Ahad, tetapi penganjur berkata ia ditangguhkan kerana penurunan kualiti air berikutan hujan dua hari sebelumnya.

Acara itu dijadualkan semula pada Isnin jika ujian berterusan menunjukkan peningkatan dalam kualiti air.

Satu kenyataan daripada Triatlon Dunia mengesahkan penangguhan itu selepas pertemuan dengan wakil Paris 2024 dan pihak berkuasa Perancis pada 3.30 pagi (0130 GMT) pada Ahad.

"Ujian terkini menunjukkan penurunan kualiti air di sungai berikutan hujan sejak dua hari lepas," menurut kenyataan itu, sambil menambah acara itu akan diteruskan pada Isnin jika ujian air mematuhi "ambang Triatlon Dunia yang ditetapkan".

"Paris 2024 dan Triatlon Dunia mengulangi bahawa keutamaan mereka ialah kesihatan atlet dan dengan keadaan ini, acara para triatlon tidak boleh berlangsung hari ini."

Acara triatlon pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Ahad dan Isnin, tetapi digabungkan menjadi satu hari kerana ramalan hujan.

Triatlon lelaki semasa Sukan Olimpik bulan lepas, yang dimenangi Alex Yee dari Britain, ditangguhkan selama 24 jam kerana kebimbangan terhadap kualiti air yang turut menyaksikan ujian renang dibatalkan.

-- BERNAMA-dpa

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619