SHAH ALAM, 1 SEPT: Program sambutan kemerdekaan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa meriah dengan kehadiran lebih 600 pengunjung.
Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata penganjuran tahun ini berbeza apabila diadakan di lima lokasi berasingan iaitu Taman Klang Jaya, Taman Maznah, Taman Kandis Permai, Taman Saujana dan Pangsapuri Palma Botanic.
Menurutnya, sambutan kali ini memasuki tahun keenam dan paling meriah kerana diadakan di lima lokasi tidak seperti tahun sebelumnya.
“Kita tetap meneruskan program sambutan ini kerana mahu memupuk semangat cintakan negara sekali gus meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat antaranya pertandingan basikal berhias dan program melibatkan kanak-kanak,” katanya dihubungi SelangorKini.
Beliau yang juga pegawai khas perhubungan masyarakat kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap masyarakat terus mengekalkan perpaduan walaupun berlainan latar belakang dan menyemai jiwa merdeka.