AGENDA

Sultan titah suburkan perpaduan, elak racuni fikiran dengan isu 3R

30 Ogos 2024, 5:21 AM
Sultan titah suburkan perpaduan, elak racuni fikiran dengan isu 3R

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat mengharmoni dan menyuburkan perpaduan tanpa meracuni fikiran dengan unsur negatif terutama berkait raja, agama dan kaum (3R).

Dalam menegakkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah isu politik

"Institusi Raja adalah "atas politik" (above politics), oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemeritah dan insitusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah," titah Baginda.

Bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024, Baginda turut menasihati pemimpin dan ahli politik negara ini untuk mengelak politik kebencian yang masih diamalkan pihak tertentu.

Titahnya, Baginda tidak akan jemu untuk terus menasihati rakyat supaya sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi dan meraikan perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik.

"Segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik janganlah dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara.

"Sebaliknya, jadikanlah perbezaan tersebut sebagai satu resipi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain," titah Baginda.

Pada masa sama, Sultan Selangor mahu usaha dibuat secara berhemah bagi mengadakan program yang boleh merapatkan jurang pemisah demi mengikis prasangka buruk dalam jiwa rakyat.

Baginda juga menitahkan rakyat bersatu hati menjadikan Malaysia berdaya saing, maju dan makmur serta menjauhi hasad dengki, fitnah dan adu domba yang boleh memecah belahkan perpaduan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619