ad
AGENDA

Sambutan ambang merdeka di ibu negara esok batal

29 Ogos 2024, 12:33 AM
Sambutan ambang merdeka di ibu negara esok batal

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan sambutan Ambang Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka esok.

Menurut hantaran di laman Facebook DBKL, pembatalan itu adalah sebagai menghormati mangsa beberapa insiden yang berlaku di sekitar ibu kota baru-baru ini.

DBKL turut mengajak orang ramai bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.

Insiden tanah jerlus Jumaat lalu di Jalan Masjid India menyebabkan wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ketujuh hari ini.

DBKL dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pasukan JBPM memasuki saluran kumbahan secara huluan dari lurang di Wisma Yakin manakala kerja shoring (sistem sokongan sementara) secara manual dan kerja penggalian juga dilaksanakan.

Menurut DBKL, usaha mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar yang menembusi tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains diteruskan serta disambung hari ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.