ad
AGENDA

Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadir majlis sempena 25 tahun UiTM

28 Ogos 2024, 3:38 PM
Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadir majlis sempena 25 tahun UiTM
Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadir majlis sempena 25 tahun UiTM

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenaan berangkat ke Majlis Malam Gala 25 Tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah universiti di sini.

Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM.

Majlis yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @Sahibuddin.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan menandatangani plak perasmian Monumen Hasrat yang akan menempatkan kapsul mengandungi hasrat serta harapan setiap warga kampus UiTM.

[caption id="attachment_660556" align="aligncenter" width="700"] Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) menandatangani plak perasmian Monumen Hasrat yang akan menempatkan kapsul mengandungi hasrat serta harapan setiap warga kampus UiTM di Shah Alam pada 28 Ogos 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Kapsul itu terkumpul menerusi Program Kayuhan Kapsul 25 Tahun yang disertai 12 peserta dalam kalangan warga UiTM yang berkayuh dengan jarak keseluruhan lebih 2,000 kilometer merentasi UiTM kampus cawangan setiap negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Kandungan kapsul yang melambangkan aspirasi warga UiTM untuk tempoh 25 tahun akan datang itu kemudiannya disimpan di dalam Monumen Hasrat yang dibina di pekarangan DATC.

Shahrin Sahib dalam ucapannya berkata majlis itu bukan hanya untuk meraikan pencapaian UiTM sebagai sebuah universiti tetapi landasan bagi memperbaharui semangat seluruh warga universiti untuk terus maju ke hadapan.

“Marilah kita raikan kejayaan ini dan memperkukuhkan ukhuwah demi mengangkat Universiti ini ke tahap yang lebih tinggi, demi anak bangsa yang tercinta,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.