AGENDA

Bekas peguam dipenjara dua tahun, denda RM15,000 pecah amanah duit pelanggan

28 Ogos 2024, 7:36 AM
Bekas peguam dipenjara dua tahun, denda RM15,000 pecah amanah duit pelanggan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM24,600 milik pelanggannya dari 2010 hingga 2011.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Jasmira Wan Ibrahim, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini," kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Wan Jasmira yang ketika itu seorang peguam di sebuah syarikat guaman didakwa melakukan pecah amanah wang milik lima individu di sebuah unit pejabat di Off Jalan Gombak, Setapak antara 7 Julai 2010 hingga 26 Ogos 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun hingga maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman manakala tertuduh diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada Oktober 2023.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619