AGENDA

Lelaki maut ditetak kumpulan bertopeng, berparang

26 Ogos 2024, 3:26 PM
Lelaki maut ditetak kumpulan bertopeng, berparang

JASIN, 26 OGOS: Lelaki maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata dalam kejadian 8.39 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya berusia 22 tahun untuk membawanya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 10.15 malam tadi ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan manakala adiknya turut dikejar kumpulan penjenayah berkenaan namun berjaya menyelamatkan diri.

"Selepas adik mangsa menghantarnya ke hospital, kereta yang dipandunya telah dihalang sebuah lagi kereta dinaiki sekumpulan lelaki yang turut membawa sebilah parang sebelum bertindak memecahkan cermin keretanya.

"Ketika lelaki berkenaan cuba melarikan diri, kereta yang dipandunya telah terlanggar sebuah ambulans sehingga menyebabkan kenderaan itu kemek pada bahagian bawah lampu sebelah kanan van berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata adik mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada kumpulan lelaki bersenjata parang itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin sebelum membuat laporan polis.

Katanya susulan itu, tiga lelaki berusia 21, 22 dan 31 ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ahmad Jamil berkata usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan dan motif atau punca kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohamad Ehsan Abu Bakar di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (sambungan 206).

Hari ini, tular di media sosial mengenai pergaduhan di luar Unit Kecemasan Hospital Jasin berpunca daripada kes tetak berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619