AGENDA

PM: Malaysia pertimbang tambah bantuan rawat rakyat Palestin cedera

25 Ogos 2024, 4:05 AM
PM: Malaysia pertimbang tambah bantuan rawat rakyat Palestin cedera

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Malaysia akan mempertimbangkan untuk menambah bantuan membantu merawat rakyat Palestin yang cedera, sekiranya terdapat keperluan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini, kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan mengenai fasa seterusnya, untuk membantu warga Palestin yang cedera.

“Setakat ini, (fasa seterusnya) tidak ada perkembangan, sebabnya fasa pertama adalah perubatan (rakyat Palestin cedera yang dibawa ke Malaysia), yang telah baik (sembuh) akan dihantar balik. Jadi kita ambil pendekatan aman dan tenang sekejap.

“Kita nanti (akan) runding dengan Mesir yang telah menampung, Arab Saudi, Turkiye, Qatar, kita tengok kalau ada keperluan kita boleh bincang dan setakat ini kita nak rawat dan bagi diorang (mereka) sihat dahulu. Kita akan bincang dan sekarang terlalu awal,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini.

Pada 15 Ogos, Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini, menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.

Muktamar itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan timbalannya Dr Zulkifli Hasan, serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin Datuk Seri Ahmad Awang.

Kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta perwakilan asing, ulama serta pemerhati dari beberapa negara, hadir dalam muktamar anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619