ADN

Wakil rakyat KKB agih RM24,050 kepada 112 pelajar cemerlang SPM, STPM

23 Ogos 2024, 4:51 AM
Wakil rakyat KKB agih RM24,050 kepada 112 pelajar cemerlang SPM, STPM

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak RM24,050 diagihkan kepada 112 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu (KKB).

Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata sumbangan insentif itu membabitkan 106 pelajar SPM yang mendapat keputusan 5A dan ke atas, manakala bakinya enam pelajar STPM dengan keputusan 4A dan purata nilai gred (PNGK) 3.75 ke atas.

“Pelajar yang mendapat 5A dalam SPM menerima RM100, 6A (RM150), 7A (RM200), 8A (RM250), manakala pelajar yang mendapat 9A dan 10A masing-masing menerima RM300 dan RM350.

“Sebanyak RM21,650 diberi kepada 106 pelajar SPM, manakala RM2,400 diagih kepada enam pelajar cemerlang STPM, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran sebanyak RM24,050," katanya di Facebook.

Menurut Sock Tao, pemberian insentif kepada pelajar cemerlang di KKB merupakan program tahunan, namun permohonan pada tahun ini meningkat dua kali ganda.

Jelasnya, program berkenaan hanya mengenakan syarat mudah iaitu salah seorang ibu bapa merupakan pengundi di KKB, menjadi faktor utama penyertaan yang tinggi.

“Saya sendiri datang dari keluarga sederhana, sebab itu saya memutuskan untuk menggunakan peruntukan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar terus berusaha dalam akademik,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini sejajar dengan prinsip keadilan Malaysia Madani, yang memberi manfaat kepada semua kaum yang layak.

"Saya akan memastikan peruntukan digunakan sebaik mungkin supaya lebih ramai pengundi dapat menerima manfaat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619