AGENDA

Anwar umum dana RM50 juta, sasar sejuta pelajar IPTA buka akaun pelaburan

22 Ogos 2024, 9:55 AM
Anwar umum dana RM50 juta, sasar sejuta pelajar IPTA buka akaun pelaburan
Anwar umum dana RM50 juta, sasar sejuta pelajar IPTA buka akaun pelaburan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan inisiatif pelaburan permulaan percuma RM50 yang menyasarkan sejuta pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan vokasional.

Program Celik Madani: Celik Kewangan Belia Madani yang dibiayai dengan dana awal RM50 juta itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Setia City  (SCCC) hari ini.

Anwar berharap inisiatif pelaburan permulaan itu meningkatkan tahap kecelikan kewangan dan pelaburan dalam kalangan belia  sekali gus menjamin masa depan lebih baik.

"Dana awal adalah RM50 juta dan kita sasar untuk 200,000 pelajar setahun. Mudah-mudahan dengan simpanan tambahan dari dana asas itu boleh kita galakkan kefahaman tentang apa erti pelaburan dan jaminan masa depan.

“Kecelikan kewangan dan pelaburan ini diperkenalkan supaya ada minat komitmen untuk melabur. Jangan anggap remeh kepentingan celik kewangan dan pelaburan ini," katanya dalam ucapan selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di SCCC.

[caption id="attachment_659323" align="aligncenter" width="698"] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampikan ucapan pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 22 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, PNB menerusi kenyataan berkata program itu dibiayai dengan dana awal RM50 juta yang dibahagikan antara PNB, syarikat korporat dan kerajaan.

“Berdasarkan mekanisme inisiatif tersebut, RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) pelajar IPTA di mana nilai ini akan dikunci bagi tempoh lima tahun.

“Sepanjang fasa ini, pelajar akan digalakkan untuk membuat simpanan berulang yang kecil setiap bulan untuk memupuk tabiat menabung.

“Inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini akan diselaraskan oleh ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB yang mana ASNB akan bekerjasama dengan IPTA, institusi pengajian vokasional serta penaja korporat untuk pendaftaran pelajar baharu sebagai pemegang unit ASNB dan menganjurkan kempen celik kewangan untuk pelajar,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619