EXCO

Projek Turapan Mega 2.0 tumpu baiki jalan rosak teruk, mula September

21 Ogos 2024, 6:09 AM
Projek Turapan Mega 2.0 tumpu baiki jalan rosak teruk, mula September

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Projek turapan mega 2.0 bermula September ini memfokus pada jalan yang mengalami kerosakan kritikal.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) sedang meneliti laluan yang kritikal sebelum kerja turapan dimulakan.

“Kita terima banyak permohonan untuk turapan jalan tetapi kali ini kita akan meneliti dan memilih berdasarkan keutamaan berbanding tahun sebelum ikut daerah dan pihak berkuasa tempatan.

“Selepas mengenal pasti kita akan mula kerja turapan jalan mega pada September ini berdasarkan keutamaan mengikut kriteria ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja baik pulih Jalan Bagan Pasir di Tanjong Karang di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri akan menggunakan jentera baharu berteknologi tinggi khusus untuk tampalan jalan yang diimport di United Kingdom.

"Ia berbeza sedikit berbanding kaedah sekarang dan kerja tampalan lebih cepat.

“Insya-Allah, perkara ini akan diumum menerusi satu majlis pelancaran jentera itu pada bulan hadapan,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.

Meliputi jarak 94.9 kilometer, kerja penyelenggaraan itu melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Pemilihan jalan untuk kerja baik pulih itu berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang dilaporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel kendalian anak syarikat negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619