AGENDA

Pelan 10 tahun aeroangkasa tarik syarikat terkemuka, pacu Selangor hab serantau

16 Ogos 2024, 7:35 AM
Pelan 10 tahun aeroangkasa tarik syarikat terkemuka, pacu Selangor hab serantau
Pelan 10 tahun aeroangkasa tarik syarikat terkemuka, pacu Selangor hab serantau

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 memacu negeri ini sebagai antara hab industri serantau serta mencipta peluang kerja berkualiti.

Dato' Menteri Besar berkata strategi tempoh 10 tahun itu meningkatkan pelaburan sektor pembuatan kepada RM19.3 bilion pada 2023 berbanding RM12.2 bilion tahun sebelumnya, dengan sebahagiannya hasil industri aeroangkasa.

"Secara global, industri ini dijangka berkembang sebanyak RM2.6 trilion menjelang 2030. Pertumbuhan trafik penumpang dijangka meningkat sebanyak 6.1 peratus dan aset kapal terbang syarikat-syarikat penerbangan bertambah 3.5 peratus.

"Beberapa projek dijalankan bersama syarikat terkemuka antaranya Dassault Aviation, Collins Aerospace, Smartlink Engineering, Singapore Airlines Engineering dan Malaysia Airlines Engineering," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau berkata ikhtiar tersebut berbaloi apabila negara ini menjadi kegemaran pelabur asing di rantau Asia Tenggara.

"Malah bagi memperkukuhkan usaha ini, Program Perantis Aeroangkasa Selangor (SAAP) dilaksanakan untuk memberi peluang kepada orang muda meningkatkan kemahiran diri serta mengaut manfaat hasil daripada rancangan ini," katanya.

Pada September 2022, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melancarkan Program Perantis Aeroangkasa Selangor bagi memperkasa belia untuk menyertai industri berkenaan dalam membina rantaian bakat atau tenaga kerja mampan.

Program latihan sambil belajar melibatkan lebih 50 perantis itu merangkumi latihan penyelenggaraan enjin dan kejuruteraan teknikal dalam sistem mekanikal dan elektrik.

Kerajaan Negeri turut membangunkan Taman Aero Selangor (SAP) di kawasan seluas 2,000 ekar di Sepang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan industri kejuruteraan aeroangkasa.

Pada 7 September tahun lepas, Amirudin berkata SAP merangkumi pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, pengubahsuaian pesawat, pusat inovasi selain hangar pintar dan canggih.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619