AGENDA

Pengamal media sambilan raih banyak faedah jika carum Perkeso

15 Ogos 2024, 8:15 AM
Pengamal media sambilan raih banyak faedah jika carum Perkeso

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Pengamal media sambilan (stringer) yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dilindungi dan menerima banyak faedah sekiranya berlaku kemalangan ketika menjalankan tugas, kata Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso John Riba Marin.

Beliau berkata antara perlindungan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi yang layak adalah faedah perubatan dan pemulihan secara percuma selain pemberian keperluan asas.

“Sekiranya berlaku hilang upaya kekal, maka Perkeso akan bawa kes ke jemaah doktor untuk menentukan berapakah tahap hilang upaya kekal dan seterusnya bayaran pampasan kepada mereka sekiranya serius, jika lumpuh pula maka Perkeso akan membayar bayaran berkala sepanjang hayat.

“Banyak lagi kelebihan yang boleh diperolehi penerima perlindungan ini. Jadi sebenarnya perkara ini adalah sangat penting. Sekurang-kurangnya...perlindungan pada tahap asas bagi setiap pekerja di negara ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperluas perlindungan sosial kepada stringers di Wisma Bernama di sini.

Memorandum itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin bagi pihak Bernama manakala John Riba Marin mewakili Perkeso dan majlis disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzzaman Nik Husin, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Memorandum itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menambah baik program perlindungan sosial, terutama bagi pengamal media yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas.

SKSPS bakal memanfaatkan seramai 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 setiap individu bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2024.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619