AGENDA

JPJ perinci sistem, selaras program peralihan lesen B1, B2 ke B

14 Ogos 2024, 9:10 AM
JPJ perinci sistem, selaras program peralihan lesen B1, B2 ke B

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan sistem dan penyelarasan proses bagi program peralihan khas yang perlu dijalani pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2, sebelum mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi).

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sedang meneliti perkara berkenaan sebelum diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata program peralihan khas yang bermula 1 Oktober ini, tidak diberikan secara automatik sebaliknya pemegang lesen perlu menjalani latihan dua jam sahaja sebelum menduduki ujian amali di institut memandu.

"Kerajaan sudah menetapkan syarat untuk menyertai program ini iaitu individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 melebihi tempoh 10 tahun, tiada saman dan tidak mempunyai senarai hitam (kesalahan JPJ).

"Masih ada ujian amali iaitu mereka perlu menunggang motosikal lebih 500cc dan penilaian serta kelulusan daripada pegawai JPJ bagi menentukan mereka (penunggang) ini layak atau tidak (mendapatkan lesen kelas B),” katanya dalam satu temubual di Wisma Bernama semalam.

Aedy Fadly berkata calon yang menyertai program itu akan dikenakan yuran RM160, berbanding proses bagi mendapatkan LMM kelas B sebelum ini membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar dengan bayaran RM900.

Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan tiada lagi program mendapatkan LMM Kelas B1 di institut memandu akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 Oktober ini.

Loke berkata dengan mendapatkan LLM kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619