AGENDA

Penjawat awam rugi RM99,000 ditipu sindiket jual beli kereta

13 Ogos 2024, 7:32 AM
Penjawat awam rugi RM99,000 ditipu sindiket jual beli kereta

KUALA TERENGGANU, 13 OGOS: Penjawat awam kerugian RM99,000 selepas ditipu sindiket jual beli kereta tidak wujud dalam aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 50 tahun itu melihat iklan jualan kereta Perodua Alza di aplikasi berkenaan, Khamis lalu.

Beliau berkata mangsa yang tertarik bertindak menghubungi nombor Telegram itu untuk urusan jual beli dengan individu dikenali Shahrizan.

"Setelah berbincang mangsa bersetuju membeli kereta itu pada harga RM26,000 dan membuat pembayaran penuh ke nombor akaun bank yang diberikan suspek.

"Bagaimanapun setelah selesai membuat pembayaran, suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah lagi wang untuk kos deposit kastam. Suspek berjanji akan memulangkan wang tersebut selepas semua urusan selesai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu membuat lima kali pembayaran ke dua akaun di dua bank berlainan menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun suspek masih ingin terus memperdaya mangsa dengan mengarahkannya memasukkan sejumlah lagi wang atas pelbagai alasan.

"Mangsa yang berasa ditipu enggan mengikut arahan berkenaan dan membuat laporan polis Ahad lalu," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619