AGENDA

Menteri: Komen beri kesan mental kepada atlet dianggap buli siber

10 Ogos 2024, 12:20 PM
Menteri: Komen beri kesan mental kepada atlet dianggap buli siber

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Komen yang dikeluarkan oleh warganet terhadap para atlet Sukan Olimpik Paris 2024 di media sosial boleh dianggap buli siber sekiranya memberi kesan ke atas mental mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata semakan akan dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sekiranya ada laporan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu.

"Kita lihat kadangkala ada yang beranggapan komen yang dibuat warganet ini boleh dianggap buli siber sekiranya atlet merasakan kesihatan mental mereka terkesan.

"Saya akan semak dahulu dan minta MCMC membuat kenyataan susulan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Perpaduan Lembah Pantai 2024 di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata pelaku dikesan mengeluarkan komen agak kasar terhadap para atlet dan ada yang menggunakan akaun palsu.

"Ada sejumlah tindakan buli siber ini pelakunya berselindung di sebalik akaun palsu dan tindakan oleh platform media sosial tidak berkesan untuk mengekang kegiatan akaun palsu bukan hanya untuk isu buli siber tetapi penipuan dan paling merisaukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.

Ditanya mengenai bantahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap cadangan supaya kerajaan membina platform media sosial khusus, Fahmi meminta Ahli Parlimen Muar itu membuat semakan fakta terlebih dahulu.

"Saya tidak tahu apa dia cakap. Mungkin dia tidak semak fakta dulu. Kepada Syed Saddiq, tidak pasti jangan kongsi," katanya.

Isnin lepas, Syed Saddiq berkata bantahan itu dibuat kerana Malaysia mempunyai ratusan aplikasi kementerian atau agensi yang bertindih dan pada akhirnya tidak berfungsi.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619