AGENDA

Lelaki tikam dua wanita guna pisau rambo di tandas surau dikesan

10 Ogos 2024, 8:39 AM
Lelaki tikam dua wanita guna pisau rambo di tandas surau dikesan

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Polis telah mengenal pasti dan kini giat mengesan keberadaan penyerang dua wanita dalam kejadian di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata pihaknya juga memperoleh satu rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berhampiran yang merakamkan kereta dinaiki suspek, dipercayai lelaki warga tempatan, meninggalkan kawasan surau selepas kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pasukan polis kini sedang berusaha mengesan suspek. Bagaimanapun, motif serangan belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini katanya pihak polis sudah merakamkan percakapan tujuh orang saksi bagi membantu siasatan.

Sementara itu mengulas keadaan kedua-dua mangsa, Shahrulnizam berkata seorang daripada mereka iaitu guru besar sebuah sekolah agama di Kelana Jaya, telah dibenarkan keluar dari hospital dan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Bagaimanapun seorang lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, seorang lelaki bertindak menyerang seorang jurujual berusia 26 tahun dan guru besar berusia 52 tahun dengan pisau rambo dalam kawasan surau berkenaan.

Ekoran kejadian itu, jurujual terlibat mengalami kecederaan kepala dan perut manakala guru besar berkenaan mengalami luka pada lengan dan tangan kiri.

Berdasarkan siasatan awal sebelum ini, kedua-dua mangsa tidak mengenali suspek.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619