AGENDA

Lans Koperal cedera di telinga kiri terkena tembakan ketika latihan

9 Ogos 2024, 2:20 PM
Lans Koperal cedera di telinga kiri terkena tembakan ketika latihan

IPOH, 9 OGOS: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera terkena tembakan ketika latihan menembak di lapang sasar Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando, Ulu Kinta dekat sini, pada Selasa.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata berdasarkan siasatan, anggota polis berusia 27 tahun itu cedera di tepi telinga kiri dalam kejadian kira-kira 2.15 petang, selepas seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor telah terlepas tembakan dan mengenai mangsa.

Beliau berkata mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu itu sedang menjalani kursus pengendalian senjata api bersama 46 pelatih ketika kejadian.

Azizi berkata selepas kejadian tersebut, beberapa jurulatih termasuk pasukan perubatan telah memberi rawatan awal kepada mangsa, bagi menghentikan pendarahan.

“Mangsa yang mengalami luka di tepi telinga kiri telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Setakat ini mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan menerima rawatan pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata latihan menembak yang disertai pegawai dan anggota polis itu, melibatkan teori pengendalian senjata api dan latihan tembak statik hadapan jarak tujuh meter.

Beliau berkata semasa latihan disambung pada sesi petang, pelatih telah diberi arahan untuk mengosongkan senjata, sebelum latihan bermula dengan pengawasan jurulatih.

“Selepas pemeriksaan dilakukan pada senjata dan telah dipastikan tiada peluru, latihan diteruskan dengan ulang kaji teknik memasukkan dan keluarkan peluru dalam keadaan senjata tiada peluru, manakala anggota dalam kedudukan formasi empat barisan.

“Semasa latihan ini sedang dibuat, tiba-tiba terdengar satu tembakan dan telah terkena mangsa,” katanya menambah latihan menembak pada hari kejadian telah diteruskan seperti biasa, dengan meningkatkan lagi aspek-aspek keselamatan setelah mangsa dirawat,” kata beliau.

Azizi berkata kertas siasatan kes itu telah dibuka di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619