AGENDA

Cuai kendali senapang, pengawal keselamatan ditahan

9 Ogos 2024, 4:14 AM
Cuai kendali senapang, pengawal keselamatan ditahan

ALOR GAJAH, 9 OGOS: Polis menahan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti yang dipercayai cuai ketika mengendalikan senapangnya, sehingga mengakibatkan satu das tembakan dilepaskan secara tidak sengaja, semasa dia sedang bertugas di Hospital Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang di Pejabat Unit Hasil hospital berkenaan, dan polis menahan pengawal keselamatan berumur 56 tahun itu selepas menerima aduan daripada pegawai operasi syarikat sekuriti tersebut pada kira-kira pukul 6.20 petang.

Beliau berkata senapang jenis 'Winchester' dibekalkan syarikat sekuriti itu dikatakan diletakkan di atas meja dalam keadaan kunci keselamatan tidak dipasang dan ketika pengawal keselamatan itu berdiri, paha kanannya terkena bahagian 'butt' senjata api itu, lalu ia terhentak ke lantai menyebabkan satu das tembakan dilepaskan.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.

Ashari berkata pengawal keselamatan itu telah bekerja di syarikat berkenaan sejak dua tahun lalu, dan baru mendapat lesen senjata api tahun lepas, yang dikeluarkan serta diperbaharui Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619