AGENDA

Azizulhasni, Shah Firdaus susun strategi Sabtu ini, sasar emas keirin

8 Ogos 2024, 4:23 AM
Azizulhasni, Shah Firdaus susun strategi Sabtu ini, sasar emas keirin

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Percaturan strategi memburu pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 seakan sudah disusun rapi oleh kem berbasikal trek negara terutama buat dua pelumba, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.

Semalam, Azizul mengakhiri acara pecut dalam saingan 1/8 apabila tewas di tangan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland dan tersingkir di repechages pecut individu - skrip yang hampir sama seperti di edisi Tokyo 2020.

Bezanya, legenda Britain, Jason Kenny yang menewaskannya di repechages 1/8 tiga tahun lalu dan kali ini pelumba pecut nombor satu dunia dari Poland, Mateusz Rudyk pula menunjukkan jalan keluar sekali gus gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian Beijing 2008 dan London 2012.

Shah Firdaus pula tewas di pusingan 1/32 kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev dan hasratnya untuk meneruskan kemaraan melalui peluang terakhir di repechages 1/32 juga menemui jalan buntu apabila dinafikan oleh Vasilijus Lendel dari Lithuania.

Namun di sebalik keputusan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines semalam, ia bagaikan sudah boleh difahami Azizul dan Shah Firdaus sebenarnya sedang mengatur langkah untuk memburu pingat dalam acara kegemaran mereka keirin bermula Sabtu ini, lapor Berita Harian.

Bayangan itu sudah digambarkan Azizul dalam satu sesi temu bual bersama media pada April lalu menyatakan mereka akan mengambil pendekatan hampir sama seperti di Tokyo 2020.

"Seperti di Tokyo, kita akan sertai pecut dulu. Kita akan lihat bagaimana dulu (dalam acara pecut), kalau kita ke final atau tersekat dan nampak jalan ke final itu sukar, jadi kita akan 'go off' (lepaskan).

"Seperti di Olimpik lalu, mungkin ramai yang tidak tahu, ketika berlumba dengan Jason Kenny, sebenarnya kita boleh menang tetapi saya memperlahankan kayuhan kerana kita tak nak ke pusingan seterusnya kerana kita akan lumba banyak kali dan penat.

"Kita mahu simpan tenaga untuk keirin... jadi kita akan menyertai acara pecut untuk melihat keadaan. Kalau boleh pergi, kita pergi dan kalau tidak, kita terpaksa tarik diri dan simpan tenaga untuk keirin kerana keirin adalah acara pilihan utama untuk saya dan Shah.

"Itu (keirin) peluang untuk pingat dan segala-galanya... dalam keirin," kata Azizul, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman pada April lalu.

Untuk rekod, Azizul yang membuat penampilan kelima di pentas Olimpik pada Paris 2024 berjaya meraih pingat perak acara keirin di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619