AGENDA

Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar, dijangka kekal RM4.42, RM4.43 hari ini

6 Ogos 2024, 2:36 AM
Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar, dijangka kekal RM4.42, RM4.43 hari ini

Oleh Karina Imran dan Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin ketara, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar US daripada 4.4240/4305 pada Isnin.

Tahun ini, ringgit mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan, meningkat 4.1 peratus berbanding dolar US, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

“Dalam pada itu, ringgit melonjak berbanding mata wang serantau, naik 10.5 peratus berbanding won Korea Selatan, 9.5 peratus berbanding rupiah Indonesia, 8.6 peratus berbanding peso Filipina, 7.8 peratus berbanding baht Thailand dan 4.4 peratus berbanding dolar Singapura.

"Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung yang tidak menentu mungkin berlaku kerana peniaga mungkin terdorong mengambil keuntungan untuk sementara waktu," katanya.

Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal sekitar RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar US hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, kedua-duanya melebihi 50 telah mengurangkan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi yang mungkin dihadapi AS.

"Ringgit mungkin dibuka lebih tinggi sedikit apabila pelabur mengalihkan pelaburan mereka ke arah Asia," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama bagaimanapun merosot berbanding pound Britain kepada 5.6514/6642 daripada 5.6379/6462 ketika ditutup pada Isnin.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0301/0378 daripada 3.1067/1117 dan melonjak berbanding euro kepada 4.8395/8504 daripada 4.8434/8505 sebelum ini.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 273.0/273.7 daripada 273.2/273.7 pada Isnin dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.66 daripada 7.64/7.66.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3343/3424 daripada 3.3485/3536 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.4405/4789 daripada 12.5528/5791 sebelum ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619