AGENDA

Menteri: Azizulhasni mampu pamer aksi terbaik, sasar emas acara bermula esok

6 Ogos 2024, 12:28 AM
Menteri: Azizulhasni mampu pamer aksi terbaik, sasar emas acara bermula esok

Daripada R Vikneswaran

PARIS, 6 OGOS: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin atlet berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu mempamerkan aksi terbaiknya pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Harapan Kontinjen Malaysia untuk merangkul emas pertama Sukan Olimpik kini, tertumpu kepada acara berbasikal trek selepas badminton menamatkan kempen dengan dua gangsa.

Hannah pada pertemuan bersama media Malaysia yang membuat liputan Olimpik Paris, berkata beliau tidak pernah risau dengan kesungguhan dan kematangan yang ditunjukkan oleh Mohd Azizulhasni, yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman.

“Beliau menyatakan mahu buru emas, saya rasa tiada isu tekanan atau apa-apa, kerana dari mula lagi kita semua tahu mengenai hasratnya. Bagi pihak kami, kita akan bantu mana-mana atlet yang mempunyai hasrat itu.

“Menerusi RTG (Road to Gold), kita meningkatkan sokongan untuk beliau dan kita terbangkan pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) Prof Datuk Seri Jeffrey Jeswant Dillon, untuk pantau keadaannya. Saya percaya dengan adanya kemudahan yang RTG bagi, Azizulhasni mampu lakukan versi terbaik beliau di Paris,” katanya.

Hannah yang menghargai semangat juang dipamerkan skuad badminton, berharap agar atlet lain juga mempamerkan aksi terbaik mereka di Paris.

Beliau berkata daripada maklum balas yang diterima, satu perubahan ketara dilihat pada atlet di bawah RTG ialah peningkatan dalam kekuatan mental pemain badminton.

Sementara itu, Jeffrey Jeswant memberi jaminan keadaan kesihatan Mohd Azizulhasni yang menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022, berada pada tahap terbaik.

“Beliau telah pulih dengan sangat baik sejak pembedahan itu untuk capai sasaran dalam dua tahap - sebagai orang biasa yang menjalani pembedahan dan atlet elit. Sejak itu, tiada apa-apa masalah yang membimbangkan.

“Kita telah memantau beliau dan membuat ujian sepatutnya di IJN mahupun di Australia. Kita yakin beliau pada tahap kesihatan optimum untuk capai apa yang beliau sasarkan. Kita mahu memberi semangat kepada beliau dan semua atlet berbasikal supaya lakukan yang terbaik dan insya-Allah akan berjaya,” katanya.

Mohd Azizulhasni, 36, menjalani pembedahan akibat mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).

Rabu ini Mohd Azizulhasni, pemenang pingat perak keirin lelaki di Tokyo 2020 dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan membuka kempen dalam acara pecut, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan beraksi buat kali pertama di Olimpik, dalam keirin wanita.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619