AGENSI

Kualiti makin baik, Sungai Klang sedia jadi sumber bekalan air baharu

5 Ogos 2024, 11:00 AM
Kualiti makin baik, Sungai Klang sedia jadi sumber bekalan air baharu
Kualiti makin baik, Sungai Klang sedia jadi sumber bekalan air baharu

Oleh Amirahwani Rahimi

SHAH ALAM, 5 OGOS: Peningkatan kualiti air Sungai Klang bakal memenuhi hasrat Kerajaan Selangor untuk menjadikannya sumber bekalan air baharu kepada penduduk menjelang 2025.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor Hasrolnizam Shaari berkata ia juga diperlukan bagi menampung permintaan tinggi penduduk Lembah Klang, mencecah sembilan juta orang.

"Sungai Klang adalah sungai utama di Lembah Klang dan banyak aktiviti berlaku di sini. Justeru, sayang jika kita tidak gunakan sumber air daripada sungai itu.

"(Ditambah pula) pengguna air terawat kita besar lebih kurang sembilan juta orang, jadi kita perlukan sumber air yang banyak," katanya dalam program Hai Selangor hari ini.

[caption id="attachment_655384" align="alignleft" width="430"] Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari ketika temu bual khas bersama Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 31 Julai 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau menambah proses rawatan air dari Sungai Klang akan dibuat di Loji Rawatan Air Sungai Rasau, selaras inisiatif pembangunan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Hasrolnizam menjelaskan elemen ancaman kepada Sungai Klang juga berjaya diatasi untuk memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada pengguna secara efisien.

Pada 24 Julai, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kutipan sampah di Sungai Klang menurun sebanyak 67 peratus dan kini hanya mengumpul 5,600 tan metrik sampah sahaja.

Beliau menjelaskan projek bawah SMG itu berjaya mengeluarkan 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang sejak 2019 hingga Ogos tahun lalu menggunakan mesin Interceptor.

Sungai Klang berukuran sepanjang 120 kilometer, mempunyai 13 anak sungai utama dan menjadi lembangan sungai keempat terbesar di Malaysia.

Pada 2022, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjangka Sungai Klang akan menjadi sumber bekalan air baharu kepada penduduk terutama sekitar Klang menjelang 2025.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619