AGENDA

Hasrat Pearly Tan-M Thinaah bawa pulang pingat tidak kesampaian

3 Ogos 2024, 2:08 PM
Hasrat Pearly Tan-M Thinaah bawa pulang pingat tidak kesampaian

PARIS, 3 OGOS: Hasrat beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah untuk menghadiahkan pingat pertama untuk Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian.

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tewas 11-21, 11-21 kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.

Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-12 dunia, dilihat bergelut pada set pertama apabila strategi permainan mereka untuk menandingi beregu Jepun itu serba tidak menjadi.

Beregu negara meneruskan aksi goyah dengan kesilapan mudah pada set kedua, sekali gus menyaksikan Matsuyama-Shida mencatatkan kemenangan ke-10 menentang mereka.

Pearly-Thinaah hanya pernah menang sekali ke atas gandingan Jepun itu iaitu ketika suku akhir Terbuka Perancis 2022 sebelum muncul juara kejohanan tersebut.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Olimpik, namun tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit kepada beregu nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, semalam.

Matsuyama-Shida pula kalah 16-21, 19-21 kepada satu lagi pasangan China, Liu Sheng Shu-Tang Ning.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619