ad
PBT

MBDK tawar bayaran kompaun parkir serendah RM15 sepanjang Ogos

2 Ogos 2024, 2:25 AM
MBDK tawar bayaran kompaun parkir serendah RM15 sepanjang Ogos
MBDK tawar bayaran kompaun parkir serendah RM15 sepanjang Ogos

SHAH ALAM, 2 OGOS: Orang ramai berpeluang menikmati tawaran pengurangan kompaun tempat letak kereta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serendah RM15 sepanjang bulan ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan tawaran sempena bulan kemerdekaan itu turut melibatkan kompaun pelbagai kesalahan trafik sehingga RM300.

“Orang ramai disaran menjelaskan tunggakan kompaun dengan kadar serendah RM15 sebelum tindakan lebih tegas diambil termasuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun katanya kompaun di bawah kesalahan Perenggan 51 iaitu kesalahan meletak kereta di petak khas dan Perenggan 36(2)(e) iaitu kesalahan di petak Orang Kurang Upaya (OKU) tidak termasuk dalam kempen ini.

“Kesalahan dalam Perenggan 36(1)(a) iaitu kesalahan menghalang atau menyebabkan terhalang mana-mana tempat atau petak letak kereta juga tidak termasuk dalam kempen ini,” katanya.

Katanya Semakan dan pembayaran kompaun boleh dibuat melalui laman sesawang MBDK iaitu ipay.mpklang.gov.my/home/kompaun, aplikasi _Smart Parking MBDK_ dan _Smart_ _Selangor Parking_ serta perkhidmatan dalam talian KPKT iaitu pbtpay.kpkt.gov.my/home/semak.

MBDK turut menyediakan modul pembayaran melalui mesin i-Kiosk di Ibu Pejabat MBDK Bangunan Sultan Alam Shah, pejabat cawangan Kompleks Pasar Besar, Jalan Meru, Jalan Tengku Kelana, Jalan Raya Barat dan ruang legar Pasaraya GM Klang.

Maklumat lanjut, hubungi Unit Letak Kereta, Jabatan Penguatkuasa di talian 03-3375 8037/8038 atau hadir ke Pejabat Cawangan MBDK Jalan Tengku Kelana, Aras Tiga.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.