AGENDA

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir, tewaskan beregu India

1 Ogos 2024, 12:24 PM
Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir, tewaskan beregu India

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus mengorak langkah pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menempah tiket ke separuh akhir, sebentar tadi.

Gandingan ranking ketiga dunia itu menewaskan beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 21-14, 21-16 dalam tempoh 59 minit pada perlawanan sengit selain dipenuhi sorakan padu penyokong di Porte de La Chapelle Arena.

Pada set pertama, Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking ketiga dunia dilihat bagaikan 'hilang arah' untuk menampan corak serangan agresif yang dilakukan Rankireddy-Shetty yang mudah untuk mengatasi mereka 21-13.

Set kedua berlangsung dengan penuh debar apabila Rankireddy-Shetty berjaya menjarakkan kedudukan sehingga empat mata di awal saingan namun Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Tokyo 2020 kembali bangkit menyamakan kedudukan 9-9.

Aaron-Wooi Yik kemudian seakan kembali menemui rentak permainan mereka dengan Rankireddy-Shetty kerap melakukan kesilapan mudah sekali gus membenarkan kemenangan memihak kepada wakil negara 21-14 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, lapor Berita Harian.

Aaron-Wooi Yik membuka set penentuan dengan baik dan biarpun diberi tentangan, gandingan negara berjaya mengekang kemaraan lawan yang dilihat semakin hilang rentak dan sering melakukan kesilapan.

Gandingan negara terus mengutip mata demi mata pada ketika kedudukan memihak kepada mereka 18-16 sebelum memuktamadkan set penentuan dengan 21-16.

Pertemuan di Porte de La Chapelle Arena itu adalah yang ke-12 antara kedua-dua pasangan berkenaan dengan kini rekod kemenangan memihak kepada Aaron-Wooi Yik 9-3.

Pada separuh akhir esok, Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu beregu utama dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang - lawan yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 pada aksi Kumpulan A, kelmarin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619