AGENDA

KPT teruskan MyBrain 2.0, taja pengajian peringkat Sarjana, PhD

1 Ogos 2024, 9:02 AM
KPT teruskan MyBrain 2.0, taja pengajian peringkat Sarjana, PhD

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 yang menawarkan akses pendidikan lebih luas kepada semua rakyat berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD).

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan MyBrain 2.0, yang merupakan kesinambungan daripada program MyBrain15, akan memberi keutamaan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain bidang sains sosial dan sastera ikhtisas.

“Bagi fasa pertama, program MyBrain 2.0 menyasarkan penerima dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap serta pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian mereka di 20 Universiti Awam (UA).

“Penajaan program MyBrain 2.0 merangkumi kemudahan pembiayaan yuran pengajian dan elaun sara hidup yang merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan pelajar di samping melahirkan lepasan universiti yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

Permohonan untuk penajaan tersebut akan dibuka mulai pada 3 petang hari ini sehingga 21 Ogos ini pada 11.59 malam secara dalam talian melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0 di pautan https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2.

Program MyBrain 2.0 merupakan satu platform penting dalam menyokong pembangunan modal insan negara yang mempunyai daya intelek yang tinggi serta berupaya memacu kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan material untuk merealisasikan gagasan Malaysia MADANI.

Ia selaras dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memperkasakan bidang STEM dalam kalangan pelajar.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619